BLOGGER TEMPLATES AND YouTube Layouts »

Tuesday, March 2, 2010

Tugasan - Karangan Argumentatif

Soalan Karangan

Pemerintah Singapura mempunyai wawasan/matlamat untuk menjadikan Singapura sebagai sebuah Negara yang kosmopolitan. Dalam usahanya itu, Singapura telah melaburkan ribuan juta dolar untuk membangunkan dua kasino.

Baru-baru ini, salah sebuah kasino, Resorts World Sentosa (RWS) telah menerima lesen kasino dan telah memulakan operasinya. Satu lagi kasino pula, iaitu Marina Bay Sands, dijadualkan membuka pintu operasinya kepada pengunjung pada bulan April tahun ini.

Berdasarkan kenyataan di atas, setujukah kamu bahawa pembinaan kedua-dua kasino ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Singapura?


Langkah 1: Proses Penyelidikan

Langkah ini memerlukan kamu untuk bekerja secara berkumpulan. Bagi langkah ini, kumpulan kamu dikehendaki mencari maklumat-maklumat penting dan melakukan kajian yang terperinci mengenai kasino dan kesan pembinaannya terhadap ekonomi Singapura.

Kumpulan kamu diberikan beberapa artikel suratkhabar dan senarai lelaman web yang berkaitan dengan pembinaan kasino di Singapura. Kumpulan kamu harus mengenalpasti beberapa perkara seperti perkataan-perkataan baru yang kamu pelajari yang mempunyai kaitkan dengan kasino. Selain itu, kamu juga dikehendaki memberi fokus kepada isi-isi penting yang boleh dicungkil daripada artikel atau lelaman web tersebut. Gunakan pena berwarna untuk menggariskan perkataan atau isi yang terkandung dalam artikel dan catatkan nota-nota penting yang diperolehi daripada lelaman web. Perkataan-perkataan dan isi-isi yang dikumpulkan akan dapat membantu kumpulan kamu untuk menyatakan pendirian bagi karangan yang akan dihasilkan.

Setelah itu, kamu harus mencari makna perkataan-perkataan itu supaya ia dapat membantu kamu melengkapkan langkah-langkah selanjutnya. Kamu harus menggunakan daya fikiran untuk menapis dan memilih maklumat yang akan membantu kamu untuk melengkapkan tugasan ini.

Setiap langkah harus dilengkapkan sebelum kamu beralih ke langkah seterusnya. Kumpulan kamu diberikan masa selama tiga hari untuk melengkapkan langkah ini. Kesemua maklumat harus dikumpul dan disusun dengan baik selewat-lewatnya pada 11hb Mac 2010.

Senarai lelaman web yang disarankan adalah:

  1. Wikipedia Bahasa Melayu

http://ms.wikipedia.org/wiki/Kasino

  1. Artikel dari suratkhabar Indonesia

http://www.inilah.com/berita.php?id=10525

  1. Segalanya magis di Resort World Sentosa

http://www.hmetro.com.my/articles/20091231115018/Article/

  1. Makanan halal turut disediakan di Marina Bay Sands http://cyberita.asia1.com.sg/msingapura/story/0,6879,159719-1267221540,00.html

Langkah 2: Proses Menghasilkan Peta Minda Menggunakan Teknik ASIBIDIBAM

Setelah membuat penyelidikan, kumpulan kamu harus mengatur maklumat-maklumat yang telah dikumpulkan dengan menggunakan peta minda . Rangka asas peta minda yang boleh dirujuk telah dilampirkan berserta perancah ini (sila lihat lampiran 1). Kamu dikehendaki menggunakan teknik ASIBIDIBAM, yang telah kamu gunakan bagi latihan-latihan penulisan karangan sebelum ini, untuk menghasilkan sebuah peta minda.

Tujuan pembinaan peta minda ini ialah untuk membantu kamu untuk mengatur dan menyusun idea-idea utama agar mempermudahkan proses penulisan karangan ini.

Soalan-soalan di bawah ini boleh diteliti dan digunakan sebagai panduan asas bagi pembinaan peta minda kamu.

Apa?

  • Apakah isu utama yang dibincangkan dalam artikel atau lelaman yang kamu dapati/lawati?
  • Apakah yang terjadi dalam artikel atau lelaman yang kamu dapati/ lewati?

Siapa?

  • Siapakah yang membincangkan isu tertera di artikel/lelaman?
  • Siapakah yang dibincangkan dalam artikel/lelaman?
  • Siapakah yang menerima keuntungan atau kerugian dalam artikel/lelaman tersebut?

Bilakah?

  • Bilakah berita ini diterbitkan?
  • Bilakah kasino-kasino Singapura mula beroperasi?

Di manakah?

  • Di manakah letaknya kasino atau Resort Bersepadu?

Bagaimanakah?

  • Bagaimanakah penubuhan kasino-kasino atau Resort Bersepadu teklah membantu ekonomi Singapura?
  • Bagaimanakah penubuhan ini dapat menarik minat pelancong-pelancong?

Mengapa?

  • Mengapakah Singapura perlu untuk membina kasino atau Resort Bersepadu?

Peringatan

Semasa melakar dan memperluaskan peta minda, kamu diingatkan supaya hanya fokus kepada maklumat-maklumat yang telah dicungkil hasil daripada penyelidikan kamu. Kamu tidak sepatutnya menambah atau mengubah maklumat yang tidak terkandung dalam kajian yang telah dijalankan.

Penilaian

Peta minda yang dihasilkan oleh kumpulan kamu akan dinilai melalui rubrik. Kriteria-kriteria yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  • Keperincian liputan (isi dan pengetahuan)
  • Imej / Idea pusat
  • Idea-idea kunci (bukti kunci dalam penyataan idea)
  • Kod hubungan (untuk memberi satu kesatuan yang tersusun)
  • Pemancaran idea (isu yang kompleks menjadi kurang kompleks)

Kumpulan kamu diberikan masa selama tiga hari untuk melengkapkan langkah ini. Kamu harus menghantar peta minda kamu untuk dinilai selewat-lewatnya pada 15hb Mac 2010.


Langkah 3: Menghasilkan Klip Video Menggunakan PhotoStory

Daripada soalan karangan yang diberikan, kamu sudah mengenalpasti karangan yang akan ditulis kelak ini berbentuk argumentatif. Oleh itu, karangan berbentuk argumentatif ini memerlukan kamu menyatakan pendirian untuk menyokong atau membangkang soalan yang diketengahkan.

Berdasarkan penyelidikan yang dilakukan dan peta minda yang dihasilkan, kumpulan kamu dikehendaki menghasilkan sebuah klip video menggunakan sofwe PhotoStory untuk menyatakan kecenderungan kamu menyokong atau membangkang soalan yang diberikan iaitu setujukah kamu bahawa pembinaan kedua-dua kasino ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Singapura?

Kumpulan kamu dikehendaki untuk mencari gambar-gambar yang boleh menggambarkan pendirian kamu dengan jelas. Gunakan gambar-gambar, ayat-ayat dan lagu untuk menjelaskan mengapa kamu menyokong atau membangkang soalan tersebut.

Peringatan

Kamu diingatkan supaya menggunakan perkataan-perkataan dan isi-isi yang telah dicari untuk langkah 1 agar dapat mengukuhkan pendirian kamu.

Penilaian

Video klip yang dihasilkan oleh kumpulan kamu akan dinilai melalui rubrik. Kriteria-kriteria yang ditetapkan adalah seperti berikut:

  • Organisasi
  • Isi
  • Visual
  • Tatabahasa
  • Cara penyampaian

Kamu diberikan tiga hari untuk melengkapkan klip video ini. Kumpulan kamu akan membentangkan hasil kerja yang telah disiapkan pada 18hb Mac 2010.

Langkah 4: Memberi Komen di Blog

Setelah pembentangan kumpulan kamu, seorang wakil kumpulan dikehendaki menaikmuatkan video tersebut ke blog kelas kamu yang telah disediakan oleh guru. Kamu diberikan tiga hari untuk memastikan video itu telah dinaikmuatkan, iaitu selewat-lewatnya pada 22hb Mac 2010.

Ikutilah langkah-langkah ini untuk menaikmuatkan klip video kamu. Pertama, kamu dikehendaki untuk melayari lelaman web http://karangan-argumentatif.blogspot.com. Kemudian, kamu harus mendaftarkan diri dan membuka akaun kumpulan di blog tersebut. Kamu hanya boleh menaikmuatkan video kamu setelah guru meluluskan pendaftaran kamu. Kamu harus memastikan nama kumpulan tertera di entri blog itu.

Setiap pelajar diberi seminggu (hingga 29hb Mac 2010) untuk memberikan pendapat atau komen-komen yang bernas terhadap PhotoStory kumpulan yang lain. Kamu dikehendaki untuk memberi pendapat atau komen kepada sekurang-kurangnya tiga klip video kumpulan yang lain. Kamu digalakkan memberi komen-komen atau saranan-saranan yang membina supaya dapat membantu kumpulan-kumpulan lain. Kamu boleh menggunakan panduan-panduan di bawah ini:

  1. Isi
    1. Adakah hujah-hujah yang dinyatakan meyakinkan?
    2. Adakah apa yang hendak disampaikan berdasarkan fakta yang sahih?
  2. Bahasa
    1. Adakah perkataan-perkataan yang digunakan sesuai?
  3. Kreativiti
    1. Adakah photostory itu menarik perhatian anda?
    2. Adakah kumpulan itu dapat menyampaikan idea secara kreatif?

Langkah 5: Pra-penulisan

Langkah ini harus dilakukan secara individu. Kamu dikehendaki menulis sebuah karangan sepanjang 350 - 400 patah perkataan berdasarkan soalan karangan argumentatif yang terdapat di atas. Kamu boleh menggunakan semua bahan-bahan yang telah dikumpulkan dari langkah 1 hingga ke langkah 4 untuk membantu kamu menulis draf karangan. Kamu dikehendaki untuk memberikan draf karangan kepada guru pada 2hb April 2010. Guru akan memulangkan karangan kamu dalam masa empat hari.

Langkah 6: Penulisan

Setelah draf karangan dipulangkan, kamu dikehendaki menyunting, memperbaiki dan menaip karangan akhir kamu di Microsoft Word. Karangan argumentatif ini sepanjang 350 - 400 patah perkataan. Kamu harus menaikmuatkan karangan akhir kamu di blog kelas selewat-lewatnya pada 9hb April 2010.

Untuk melengkapkan tugasan ini, setiap pelajar dikehendaki memberikan pendapat tentang sekurang-kurangnya lima karangan dari pelajar yang lain. Kamu diberikan tiga hari sehingga 12hb April 2010 untuk memberikan respons kamu. Guru akan menilai karangan argumentatif kamu berdasarkan kepadatan isi dan penggunaan bahasa yang ditonjolkan dalam karangan kamu.

0 comments: